NILAM (Ulasan Buku Pelajar)

Apa itu Program NILAM?


‘NILAM’ atau Nadi Ilmu Amalan Membaca merupakan penggabungan atau adunan semua aktiviti galakan membaca yang pernah dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai. Pelaksanaan program ini meliputi penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun dan markah dikumpulkan secara kumulatif sehinggalah mereka tamat persekolahan.
Program ini ialah satu usaha Kementerian Pelajaran Malaysia dengan matlamat untuk membina tabiat membaca di kalangan murid. Bahagian Teknologi Pendidikan ialah urus setia di Kementerian Pelajaran yang ditugaskan untuk menyelaras program ini.
Program ini telah mula dilaksanakan dengan Tahun Satu di sekolah rendah dan Tingkatan Satu atau Peralihan di sekolah menengah dengan rasminya pada 1999, melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pelajaran Malaysia Bil.13/1998: Program Membina Tabiat Membaca bertarikh 22 Mei 1998.

Apakah Rasional Program NILAM Dilaksanakan?

Suatu tamadun atau bangsa hanya dapat dibina melalui masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu. Cara utama dalam membina budaya ilmu dalam sesebuah masyarakat ialah melalui amalan tabiat membaca yang berterusan. Kementerian Pelajaran telah melaksanakan pelbagai program galakan membaca di sekolah-sekolah. Walau bagaimanapun kesan daripada program tersebut masih belum mencapai tahap yang dikehendaki. Dengan demikian Kementerian Pelajaran perlu mencari pendekatan baru bagi melaksanakan program galakan membaca yang lebih berkesan dan dapat dijalankan secara berkesan.

::. Matlamat Program NILAM .::

Matlamat Program NILAM ialah supaya terbina tabiat membaca dalam kalangan murid.

::. Objektif Program NILAM .::

• Menjadikan murid banyak membaca
• Menggalakkan sekolah terus menjana idea kreatif dan inovatif bagi menyemai tabiat membaca ini

Bilakah Aktiviti Program NILAM Boleh Dilaksanakan?

Program NILAM mengalakkan murid membaca di mana jua walaupun selepas tamat waktu persekolahan. Walaubagaimanapun, satu masa membaca di Pusat Sumber Sekolah atau di sudut bacaan kelas wajar dimuatkan dalam jadual kelas terutamanya matapelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris untuk menjalankan aktiviti membaca.
Waktu lain juga boleh diperuntukkan untuk aktiviti PSS yang melibatkan pengajaran kemahiran membaca, contohnya aktiviti dalam Minggu Pusat Sumber Sekolah, Minggu Bahasa atau mata pelajaran lain.
Murid juga boleh meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit semasa waktu perhimpunan mingguan untuk aktiviti membaca seperti Bicara Buku dan menulis ulasan buku.

Berikut di Bawah Adalah Ulasan Pelajar Daripada Pembacaan:


TUNTUNAN BAHASA: ASAS PEGANGAN PELAJAR
Nama Buku:          Tuntunan Bahasa: Asas Pegangan Pelajar
Penulis:                Awang Sariyan
Jumlah Halaman:   271 halaman
Tahun Terbit:         2004
Pengulas:             Mohd. Isa bin Abd. Razak
Penulis buku ini, Dr. Awang Sariyan, ialah Pengarah Jabatan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Beliau juga ialah Presiden Persatuan Linguistik Malaysia. Beliau telah menghasilkan lebih 60 buah buku, termasuk kamus, lebih 500 makalah ilmiah dan umum, dan lebih 100 kertas kerja untuk seminar peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Buku ini memaparkan isu-isu lazim dalam penggunaan bahasa. Isu utama yang dipaparkan dan dibincangkan dalam buku ini ialah isu yang berkaitan dengan penggunaan kata dan ayat yang sempurna binaannya. Selain itu, penulis juga membincangkan beberapa isu yang berkaitan dengan bahasa baku dan sebutan baku.
Buku ini terdiri daripada dua bahagian. Bahagian pertama membicarakan hal-hal berkaitan bahasa baku, sebutan baku dan isu-isu umum bahasa, terutama yang berkaitan dengan tatabahasa. Bahagian kedua membicarakan penggunaan kata dari segi bentuk dan maknanya.
Sebagai contoh, dikemukakan inti sari dua bab yang terdapat dalam buku ini. Dalam satu daripada bab buku ini, penulis menghuraikan maksud bahasa baku dan situasi penggunaannya. Menurut penulis, bahasa baku dapat juga dikatakan bahasa yang bertatabahasa atau gramatis. Bahasa baku ialah satu daripada sekian banyak ragam yang ada dalam sesuatu bahasa. Bahasa baku digunakan dalam suasana rasmi di institusi pendidikan, di jabatan kerajaan dan oleh media massa. Sebagai contoh, kerja bertulis pelajar di sekolah, maktab dan universiti perlu ditulis dalam bahasa baku. Urusan berkaitan surat-menyurat, mesyuarat, laporan, taklimat dan ucapan di jabatan kerajaan perlu dikendalikan dengan menggunakan bahasa baku. Demikian juga halnya dengan siaran radio dan televisyen yang bersifat rasmi, seperti siaran berita, perlu dalam bahasa baku.
Dalam satu bab yang lain dinyatakan bahawa bentuk ianya merupakan ciptaan baharu yang tidak berasaskan tatabahasa. Penggunaan bentuk ini berpunca daripada sikap ambil mudah oleh sesetengah penulis.
      Kandungan yang disajikan seperti contoh yang diberikan tadi dapat merangsang pemikiran pembaca. Kandungan yang disajikan itu juga dapat membantu pelajar menghadapi peperiksaan dengan lebih yakin. Dari sudut yang lain, jika buku ini dibaca oleh banyak pelajar, tentulah banyak pula soalan akan dikemukakan oleh mereka kepada guru Bahasa Melayu. Dengan demikian, tidak boleh tidak, buku ini mesti dibaca oleh semua guru yang mengajarkan Bahasa Melayu sama ada di peringkat rendah mahupun di peringkat menengah dan di institusi pengajian tinggi. Jika tidak, ada kemungkinan mereka akan terpinga-pinga dengan soalan pintar yang dikemukakan oleh pelajar-pelajar mereka.
      Gaya persembahan buku ini amat menarik. Babnya pendek-pendek. Kesemuanya terdapat 109 bab. Setiap bab mengambil ruang antara satu hingga enam halaman sahaja. Umumnya, setiap bab boleh berdiri sendiri dan pembaca yang sibuk boleh membaca bab pilihan yang difikirkan sesuai atau perlu diberi keutamaan.
      Dr. Awang menggunakan bahasa yang mudah difahami. Kosa kasa yang digunakan amat sesuai untuk  orang awam, khususnya para pelajar. Perenggannya pendek-pendek dan menyerlahkan keutuhan dari segi tautan. Kesemua perkara ini dapat merangsang para pembaca menyelesaikan pembacaan masing-masing.
      Unsur-unsur kelakar di sana sini pula, terutamanya pada penutup bab, dapat memikat pembaca untuk meneruskan pembacaan. Ungkapan, klausa atau ayat seperti “Usahlah, misalnya, mengatakan Pemuda itu sungguh ayu, hanya kerana kata adjektif ayu sama jenis dengan kata adjektif tampan atau segak”,  “Jangan sampai anda mengatakan ‘Saya akan menghadiahkan anak saya sebuah komputer kerana tampaknya anak anda itulah yang akan menjadi hadiah”, dan “Orang yang berlari tidak semestinya lari, dan orang yang lari tidak perluberlari”.
      Sebagai penutup, perhatikan petikan ini:  “… jelas bahawa makna kata kemaluan tidak sepatutnya disempitkan kepada makna alat kelamin sahaja; sama halnya dengan kata mengandung yang makna asasnya bukan hamil tetapi berisi.” Pada saya, petikan ini amat berkaitan dengan tujuan penulisan buku ini. Jadi, carilah buku ini di pasaran dan bacalah dengan teliti untuk memahami mesej tersirat yang hendak disampaikan oleh pengarangnya.


No comments:

Post a Comment